KAWAN²

Thursday, November 15, 2012

Apa lagi, Adam & Hawa lah..

Now, demam drama Adam & Hawa. Mula2 dulu macam malas nak layan la kan. Member ni bgtau, Aaron Aaron Aaron. Malas nak terjerumus kat drama2 bersiri dah. Katanyaaaaa...

Padahal, Astro aku xde subscribe Mustika HD.
Kahkahkah! Alasan. Itu aritu ye, aritu.

Okey, aku baru abis tengok episode 47 kat blog ezany kun. Dah jadik rutin hari2 aku tengok kat blog ni. Kalau tak time lunch hour kat office, time lepas maghrib aku tengok episod yang malam tadi punya.

Orang lain ngaji lepas magrib, aku ngaji kan si Aaron. Camtu, ada hati katanya nak kawin dengan pak ustat. Bak kata mak aku, "ko seluar pun ketat, ada hati nak kawin ustat".

Today, lepas abis tengok drama ni, aku pun baca la komen2 dari si penonton drama ni kat sini. Rata2 tak sabar nak tunggu episod yang seterusnya. (Aku termasuk dala, golongan ni). tapi aku x la letak komen. Tak kurang jugak ada yang buat rumusan. Macam2 la jenis komen.

Yang aku tertarik kat satu komen dari seorang ni. Dia kata drama meloyakan lah, banyak scene tak logik lah. Lebih baik jadikan tajuk Johan & Azie lah. Banyak la cerita tak puas atinya dia kat drama ni. Aku pun tak paham kenapa dia nak stress sangat tengok cerita ni. Taknak tengok, jangan la tengok hoii.. Eh, Kenapa aku pulak yang stress ni?

Dah pulak pembaca2 lain tak puas hati dengan si pengkomen ni. Dah pulak meleret2 kutuk mengutuk2 jadiknya dek kerana tak puas ati kat minah ni yang kutuk lebih2.

Aku rasa la kan, minah ni dah banyak sangat tengok sinetron, sebab tu dia terbawak2 kat drama ni.

Korang rasa?


Sent from my iPad

Tuesday, September 25, 2012

Harijadi Masak Sendiri.


Minggu lepas especially Sabtu, memang hari yang amat memenatkan. Dari seawal 10.00 pagi dah pegi Jalan TAR amik stok tudung.

Dah kalau pegi sana, bukan takat pegi amik stok, layan stok mata itu pasti. Bukan beli pun. Tengok je yang lebih.

Pekena pulak laksa kat stall belakang tu. Cari Laksa Sal, tapi tak jumpa. Tak tau lah, takde ke, kitorang yang tak jumpa. Blasah saja. Janji Laksa.

Takleh berlama2 kat sana, sebab ada rancangan lain untuk malam tu. Ye, buat majlis makan2 untuk adik beradik sempena harijadi cikpinky, iaitu saya le, sapa lagi?

Okey, malam sebelum tu dah buat Red Velvet cake. Tapi tak siapkan lagi topping creamcheese nya.

Balik rumah je, terus membelasah nasik dengan gina. Ada pulak sayur cendawan tanah masak tumis. Memang best lah. Rasa dia, fuh.. Kenyal2 gitu sebab masih baru lagi.

Kenyang perut, pukul telur pulak buat pavlova. (harap2 jadikla hendaknya). Sementara pavlova dibakar, aku buat la pulak topping untuk red velvet. Acara mendeko pun bermula. Dibantu oleh Gina. Bagi idea katanya.
Aku ni dah macam blank idea time tu. Barangkali faktor kekenyangan makan nasik tadi adalah penyebabnya.

Rebus cili, rebus ikan blender segala untuk buat laksa pulak. Sementara tu perap drummet ayam dengan tepung rangup. Semua tu aku buat sendiri. Sendiri punya happy birthday, sendiri masak. Ko hade?

Ni, Pavlovalova yang tak berapa nak meletup sangat. Tapi, inilah menu yang ditunggu2 orang dorang semua. Aku saja je, taknak potong awal2. Kan ke dessert namanya. Kena la makan last2 kan..

Ni dia Red Velvet Stoberi aku. Sekarang ni dah macam obses dengan stoberi. Suka sangattt gabungkan creamcheese topping dengan stoberi. Nak order? Bagitau saya.

Ni, menu makan2 majlis tersebut. Ha kau, siap letak periuk kuah laksa atas meja. Malas aku nak tuang2 dalam mangkuk segala. Letak terus periuk atas sana. Karipap tu, kakak ipar aku buatkan. Puding kastard tu kakak aku buat. Sate, aku buat sendiri (tipu). Sate disponsor oleh Gina. Kentang tu aku beli, tinggal goreng sajo. Tapi, lupa tabur garam. So, kentang tawar la nama kau.

Kalau majlis2 mcm ni, budak2 la yang paling happy. Suka dapat jumpa sepupu2. Yang baju pink tu, cucu aku, Sasha. Dia dah pandai main2 dengan kawan2 dah. Dah macam tukang karut dah aku tengok. Suara dia je jerit2. Tapi biji butirnya, aku tak tau apa yang dikatanya.

Suka bila dapat berkumpul dengan adik beradik. Makan sama2 gelak ketawa sama2. Walaupun ada kakak aku yang tak dapat nak hadir. Sebab anak dia kena sekolah hari Sabtu tu. Takpelah, lain kali.. InsyaAllah Ada lagi.

Pagi Ahad, badan rasa letih sangat. Macam tak boleh bangun pulak.

Mungkin faktor usia, dah tua. :)
 

Saturday, September 22, 2012

Thursday, September 20, 2012

Dulu Sleeping, now Baking.



Ha kan, dulu suka sangat tidur. Pantang ada masa senggang time2 cuti, masuk bilik, zzzz.. Tu je keje. Sampai naik lesu badan asik tidur je. Tidur waktu petang pulak tu. Sungguh tak elok tabiat ku dulu. Nasib baik tak gila.

Sekarang ni, suka sangat membaking. Paaling aku suka, buat red velvet. Ye, sukaa sangat. Lagipun, sejak2 boleh menjana pendapatan.. Laagi aku suka. Yess!

Now no more 'asal duit jadi barang' ye..


Yang ni, order dari adik aku. Untuk buat jamuan hari raya tempat kerja dia. Dia suka yang simple2 je. Tapi orangnya tak simple. Hehehe..

 
Okey, ni Puan Hajar yang order. Untuk jamuan hari raya ofis dia. Anak dia suka sangat katanya. Terima kasih ye order dari saya. :)

Okey, yang ni Puan Juliana Hassim punya. Dia order untuk majlis barbeku kat rumah MIL dia. Sorry tak dapat datang sebab ada majlis kenduri saudara terdekat. Yang ni, aku buat deko bakul. Basket Deco katanya.

Yang ni, anak sedara aku order. Untuk jamu kawan2 dia datang beraya kat rumah. Anak2 kawan dia dok tinjau2 je kek ni dalam kotak memandangkan korum masih belum cukup time tu. So, belum boleh reveal kek yang sebenar. Comel je tau budak2 tu.














Yang ni pulak, Pavlova lova.. Cubaan kali ke berapa ntah. Yang ke lapan barangkali. Baru agak menjadi. Agak ye, bukan jadik sangat. Anak2 sedara aku kemain lagi suka. "umi, akim bagi 5 bintang". katanya.

Kalau korang nak order, sila bagitau awal ye.

Red Velvet Stoberi = RM80.00

Aku memang sangat suka hias red velvet ni dengan stoberi. Nak tau kenapa?

SEBAB SUKA..


Wednesday, September 12, 2012

Baldu Merah Itu.. Lagi..


Kalau dulu suka2 je..

Sekarang dah sukaaaaaa.. Suka sangat buat Red Velvet Cake.

Cewah, gituh..

Now, dah jadi macam hobi terbaru. Asik dok pikir nak buat cake, nak deko cantik2. Ada orang tanya, kenapa buat cantik2, nanti sayang nak makan.

Pulak gitu. Mestilah nak cantik kan.. Kalau sememeh, nak makan pun tak selera nanti.

Kalau ada yang nak resipi, kalau nak.. korang boleh amik kat sini. ---> http://sweetydesserts.blogspot.com

Kalau ada yang nak order, email aku kat sini ----> pinkiss2109@gmail.com

Sekian.




Friday, August 31, 2012

Test

Testing, testing, 123.


Sent from my iPad

Sunday, August 5, 2012

Baldu Merah Lagi.

Okey, pagi semalam lepas sahur tak boleh nak tidur lagi. Masuk dapur, buat RV lagi. Pkl 7 pagi dah start. Punya la semangat.

Lepas siap bakar, siap2 keluar gi soping baju bapak aku. Baju mak, dah settle sejak awal puasa lagi. Biasalah, anak borek, mak rintik. (Ni bukan ayat salah)

Pagi tadi pulak, pukul 3 mak aku dah sibuk blender kacang. Harini nak MONJONG. Sapa Jawa, dia tau apa maksud Monjong ni. Sapa bukan Jawa, sila tanya kat Si Jawa.

Aku dah terjaga dah time ni. Kedip2, takleh tidur dah. Bangun, pegi dapur, deko RV. Cream aku dah siap buat petang smlm. Sejukkan dalam peti ais dulu.

So, itulah hasilnya RV kedua aku.

Adik aku komen:

"Kerasnya deko"

Aku balas:

"Ko jangan makannnnn!"

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tuesday, July 31, 2012

Cinta Si Baldu Merah


Ha kauuuu! Tajuk tak menahan kan?

Pagi Sabtu lepas, aku dah pegi kedai Two Ply. Sapa yang tinggal kat Klang, tau la dia tu kedai apa. Motif aku pegi adalah nak temankan kakak aku. Seawal 7 pagi aku dah gerak. Sebab kedai ni letaknya kat Pasar Besar Klang. Kalau dah nama pasar besar kan, so..akan ramailah orang sibuk nak membeli barang waktu pagi. 

Actually, aku ada motif lain. Ye, nak beli bahan² buat biskut raya. Mampooo? Macam tak pecaya lah kan.. Aku nak buat biskut raya. Sebab tahun sebelum² ni, aku buat biskut gak. Biskut tunjuk. 

Satu lagi motif, nak beli barang untuk buat Red Velvet. Gituh. Kan ke aku tengah mood baking membaking kan uolss.

Ni dia, Red Velvet aku. Rupa tiada, tapi rasa ada di situ. Ecewah.. Feeling² Chef Joe gituh. Setelah bertungkus lumus tampal cream atas tu. Susah woo.. Kejap² dia cair. Kejap tampal, kejap masuk peti ais. Berulang kali aku buat. Kesabaran amat diperlukan di sini ye. Kalau tak kerana di bulan puasa, aku sabarkan jua. Kalau tak, makan red velvet kosong gamaknya.

 Ni setelah dipotong satu perempat. Bahagian untuk anak sedara aku, Baby. Sebab dia rajin sangat tolong aku dalam menyiapkan RV ni. Hambik ko bawak balik sana. Pandai² la nak share ye. 

Ha, yang ni sapa nak? Amik la buat rasa². Sedap juga.

Okey, nak cerita ni. Sepanjang aku buat RV ni.. Macam biasa lah. Aku buat gangguan BBM kat sifu aku ni. Walaupun aku tau dia naik rimas, sebab time tu dia nak tidur setelah penat menyiapkan Pavlova² yang diorder oleh customer.  Tapi, aku peduli apa, ko kena reply bbm aku jugak.

Ha, kalau korang nak tempah dari dia, klik sini  ---> Desserts

 Pagi tadi, aku dapat call dari kakak aku.

"Yang, sedapnya kek kau buat tu.."  (haaaa.. tak puasa..!)

Bukan aku yang cakap sedap tau.. 



Tuesday, July 24, 2012

Dah Tukar Topik.


Kalau hari tu bbm, ym aku dok cerita pasal Coach, pasal angan² nak beli beg itu ini.. Now topik cerita dah tukar. No more Coach dan pasal beg² kejadah semua tu.

Lagipun now beg dah letak dalam lemari, simpan pakai untuk raya. Heh.

Sejak minggu lepas, aku dah dok cerita bincang pasal Desserts. Awww.. Ai like kalau bab² makan. Walopun at first aku tak like buat benda² ni semua kan.. Bila dah sekali buat, baru terasa enjoynya. Ecececehh.. Memang betul. 

Tau tak, mula² aku buat Pavlova.. Aku tak berapa concentrate sangat. Yelah, baru bangun tido. Nak² pulak tu tido petang. Otak pun separa waras. Lagipun, aku 2 hantu dok kaco aku. Asik dok tanya pav pav pav. Kalo aku tak buat jugak, memang nanah la mata telinga kena carut dengan dorang. 

Aku baca instruction, trus buat. Pasal sukatan tu.. Huh. Yang 1/2, aku letak 1, Yang 1, aku letak 1/2. Bajet memory baik la kan. Tak sedar, memory dah kurang. Tulah, selalu berak tengok najis sendiri. Puiii.. Kemproh!

Pastu kan, aku beat telur tu ala² je. Campur semua bahan lain, putarrrrr.. Agak² aku rasa ok, aku tuang, bakarrr..Aku buat 2 layer, layer atas ok. Masak elok. Layer bawah pulak, belah atas tak masak. Belah bawah je nampak ok.

Tau apa aku buat? Aku bakar balik, letak pemanas belah atas je. Ha.. Tak lama lepas tu, Hanguussss. Hambik ko. Tu yang aku buat 2 layer tu aritu.Pastu, kertas lapik melekat pulak kat Meringue tu. So, aku biar je kertas tu melekat. Bila anak sedara aku makan, dia tanya.

"Umi, ni lapik dia ke?" Aku jawab "haah". 

Takpe, itu first try. Orang kata, kalau nak buat sesuatu dengan lebih baik especially pasal baking membaking ni, kita kena Try An Error.

Tapi memang betul. Sekarang ni kitorang banyak share cerita pasal buat Pav ni. Sharing untuk memperbaiki mutu Pav yang dibuat. Ecewahhh.. Bajet.

Bukan aku la yang share, tapi kawan aku ni ha si Aqish. Dia rajin bagitau aku, ajar aku. Bilamana dia tengah buat Pav tu, sambil² dia bgtau. Kenapa, macamana. Sharing is Caring kan? 

Kalau aku yang share, alamat Pavlova tu rasa macam lempeng je la kan??

Next misi aku adalah..

'BALDU MERAH'

Ecewah gitu..


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Monday, July 23, 2012

PavPavPoyo.


Kalau bab² buat cake ke apa kan.. Memang So Not Me lah. 

Aku malas nak pukul telur bagai, baking bakar.. Fuhh.. memang aku TAK SUKA. ok?

TAK SUKA.

Tapi kenapa tah, sejak dua menjak ni.. Rasa nak baking tu ada. Sebenarnya ada sorang kawan ni. Psstt..Dia ni kan (cakap sambil bisik), now suka sangat membaking. Red velvet la, mini tarts la, puding trifle lah, cheese cake lah. Bla..bla..bla.. Tah kenapa tah. Aku pun tak tau. Ah, biar lah dia suka. Aku je tak berapa nak suka. Kahkah! Aku suka tido.

Lepas aku tengok hasil tangan dia, aku mula berminat nak mencuba. Tanya dia resipi segala. Resipi telah diberi, penerangan segala sudah ada. Buat masa ni, aku berminat nak mencuba Pavlova.

Tapi, MIXER takde. Ye, takde. Tak pecaya? Sukahati.

Kalau dah hari² dok ngadap gambar² Pavlova, keinginan terus memuncak. Eceh. Hari Sabtu lepas, pegi la cari mixer. Cari oven segala. Kat rumah ada oven, tapi aku tak suka. Oven kat rumah tu kaca bentuk macam UFO. Leceh.

Sambil buat sambil berbbm dengan kawan ni. Agaknya dia pun naik letih layan bbm aku. Sebab dia pun tengah membaking gak. 

Ini hasil pertama Pavlova aku. Tak berapa nak jadi. Aku buat dua layer. Tak rangup pun. Rasanya macam Pancake. Boleh? Boleh je. Sebab licin terus.

 Ni, adalah meringue untuk Pavlova aku yang kedua. Lebar kan? Menurut sifu aku tu, meringue yang betul adalah rangup. Memang betul ia rangup. So, percubaan kedua adalah hampir berjaya. Sebab ia cair di mulut, tidak di tangan. Eceh, macam iklan M&M pulak.

Okey, ni dia Pavlova aku yang kedua. Sebab saiz dia adalah besar. So, aku takde pinggan yang sesuai. Last² pakai je tray oven ni. Boleh je kan? 

Lepas ni aku nak buat lagi. Dan lagi. Ada yang kurang lagi kat Pavlova aku. Kena beli cake ring untuk mendapatkan bentuk yang lebih kemas lagi.

Krim tu kena pekat lagi. Takmo leleh². Dan banyak lagi yang perlu diperbaiki. 

Kawan² pun dah cakap nak datang raya, nak makan Pavlova. InsyaAllah ye, aku akan buatkan.

Thank to Aqish, Dia la pemangkin aku untuk buat Pavlova ni. Hari² dok tanya, "bila ko nak buat.? Bila nak cuba.? Jangan asik tidor je..

Korang nak order dessert, jangan order kat aku. Sebab dessert aku tak brapa nak constant lagi hasilnya.

Korang order kat sifu aku ni..-----> Home Desserts.


Wednesday, July 18, 2012

Bajet lebih..

YahooNews.

Aku kan, boleh dikatakan tiap pagi lepas masuk office.. Aku baca YahooNews. Aku suka baca. Sebab kebanyakan news tu takde kata suratkhabar. Sebenarnya, aku malas belek suratkhabar. Hahaha..

Okey, apa yang menarik kat sini adalah komen² terhadap news tersebut. Kat ruang bawah tu ada ruang komen. 

Macam² la komen kat situ. Ada positif, ada negatif. 

Kebanyakan komen tersebut berbaur kutukan, kejian, makian. Ha, lagi² kalau pasal kontroversi artis. Ha, news macam ni paling ramai pengutuk tegar. Haih.. Baca sudahlah. Takpayah kutuk bagai hoiii.. Buat menambah dosa ko je. 

Pulak tu, ramai yang trus bajet diri tu ustazah / ustaz. Tu yang paling aku menyampah kat sini. Ye, bajet dengan cara menyindir mengutuk bagai. Macam la ko kenal sangat dengan orang kat news tu. Puiii..! Tak payah nak bajet weeii..

Tapi kan, yang paling kelakar sekali, dorang kat ruang komen ni boleh kutuk mengutuk komen antara satu sama lain. Sampai gaduh pun ada kadang² tu. Dek kerana tak puashati dengan komen orang lain. Bongoks betul.

Hai laaa.. Manusia ni kan, Macam² perangai.. 

Monday, July 16, 2012

KOCaiiii..


Saya ada seorang kawan, dia selalu berkata.. (sila baca sambil menyanyi)

"Bagi diri sendiri Reward. Ko keje penat² kan? Sampai stress, sakit kepala sakit badan kan?."

Bertitik tolak dari itu, aku pun berfikir. Ada betulnya kata² beliau.

Aku pun dah lama sebenarnya dok usha beg² kat online. Sampai naik berpinar² mata tengok pc ngadap website yang jual beg. Keluar web tu, masuk blog ni. Itu je la keje aku. Belinya tidak.

"Sampai naik bernanah mata ko tu, sampai naik tersembul biji mata, tak jugak beli." kata seorang kawan ni.

Okey, Fine. Ko menang.

Sebenarnya, dari awal tahun aku teringin la sangat beli beg Coach. Boleh dikatakan hari² tengok. Tengok kat blog Princess Victoria tu. Haih.. Nak order, macam tak sabar nak menunggu. Yelah, aku ni kan kurang kesabaran di dada. Yang ready stok tu ada, tapi tidak berkenan di mata.

Aku kan, kalu harga lebih dari RM500, otomatik jadik tak suka. Hahaha.. Dasar KEDE. Lama tu aku simpan duit. Mengidam nak pakai la katakan..

Sikit-sikit lama-lama jadik bukit. Tak gitu?

Aritu kan, dah surf² kat satu website tu. Join pulak dengan 2 orang kawan ni. Kalau beli lebih dari 2 bijik, dapat lagi diskaun. Okey, confirm order satu beg ni.

Sekali deal punya deal.. Email itu ini pasal payment. Last², Ha ko, alamat dia kat China. Boleh?

Nehi.. Nehi.. Okey, Order pun kensel.

Lepas tu, dapat tau pulak dari FB ni. Dia jual Coach dari outlet. Kalau korang nak add dia, cari nama Cik Yan Nor. DP dia gambar beg. Dia stay kat Washington sana. Kebetulan, memang tengah ada sale. Aku pun apa lagi, since harga dia memang jauh lebih murah dari yang sebelum² ni aku tengok.

Order la satu beg ni. Since harga adalah di bawah bajet kedekut aku. Duration untuk sampai adalah antara 2-3 mingu. Okey, di sini kesabaran perlu di cari. Kesabaran tidak dijual di mana² ye. Cari dalam diri. Cewah, puiii!

Memang betul, penantian itu satu penyiksaan. Kena pulak ada delivery problem.Pihak DHL tak bawak keluar barang sampai satu waktu yang akan ditetapkan sebab cuaca adalah sangat buruk kat sana. Sabar..

Hari² la aku dok tgk wall CYN ni. Kot² ada update pasal delivery. Okey, lepas delivery is moving dan sampai Hong Kong. Aku dah lega. Lagi lega lepas delivery dah sampai KL. Time ni dah debar². Dasar jakun.

Dah tau barang dah sampai KL, jenguk la pulak lagi tunggu No. CN Poslaju. Okey, dah dapat CN Poslaju, dok keluar masuk pulak website PosMalaysia. Nak tengok parcel dah sampai stage mana.

Eh, aku taip entry ni sambil gelak² korang tau tak? Gelihati sendiri pulak mengenangkan kejakunan dan keterujaan diri nak dapat beg. Sakai betul la aku ni. Orang pakai Gucci, pakai LV, rilek je pun kan? Ni baru nak pakai Coach. Puiiii.. Dasar jakun.!

Okey, pagi² hari Khamis tu aku datang office.. Trus check website Poslaju. Okey, notice dia is "arrived at PPL Klang". Maksudnya, dah sampai kat pos office Klang. Ish.. rasa nak gi sana, terus collect sendiri. Punya la tak sabar kan?

Terus menanti..

Bila bell bunyi, "Kak, poslaju dah sampai" Itulah yang aku tunggu² selama 2 minggu.


Sila abaikan gaya poyo aku tu. Photo ni sebenarnya aku nak masukkan kat Contest CYN tu. Sapa yang beli beg dengan dia, boleh masuk contest tau. Best kan? Sapa paling banyak dapat LIKE, boleh dapat hadiah. Hadiah berupa barangan Coach jugak.

Budak office adalah jadi mangsa photographer aku. Dalam lebih kurang 50 cubaan, ni yang aku rasa aku berkenan. Sampai la ke hari ni, tiap kali aku masuk office, budak ni tanya.

"Kak, arini nak amik gambar lagi ke?"

Ha, nanti korang LIKE tau photo aku tu? Add aku kat FB. - Pinky Nonie -

I lap uols in advance lah.

Psst.. nak kumpul duit lagi. Nak beli pattern lain pulak.

Wednesday, July 11, 2012

Feeling² MasterChef la kan?

Kalau haritu aku suka makan togeh tumis dengan bunga kantan, sekarang aku suka pulak udang butter basah.

Mula² buat tak berapa nak sedap. Rasa okey² je. Tapi habis jua. Ececehhh.. Sedap la tu kan? Resipi ni sebenarnya aku dapat dari anak sedara aku.

Senang je sediakan udang butter basah ni.

Bahan²:
Udang
Daun kari
Cili padi (potong bulat² macam cili potong kat kedai)
Butter
Susu Cair
Gula sikit.

Panaskan kuali. Masukkan minyak. Goreng udang ni. Goreng gitu je. Takyah tambah garam ke kunyit ke apa.Udang, ikut sukahati ko nak banyak mana. Kalau ko ke, anak ko ke, laki ko ke, hantu udang, sila lah letak banyak².

Dah siap goreng letak tepi. Jangan pulak ko ratah udang ni. Kang makan daun kari je last².

Amik kuali lain yang bersih. Jangan pulak ko pakai kuali tadi. Dah kotor kan?

Panaskan kuali, masukkan butter. Masukkan daun kari dengan cili potong tadi. Agak² dah kering dan naik bau, ko masukkan susu cair. Kalau udang banyak, letak susu tu lebih sikit. Ha, ko letak gula sikit. Susu cair ni dia lemak je. Takde manis pun. Yang manis tu aku. Eh.

Kacau lagi, sampai dah agak pekat. Pastu ko tutup api gas tu.

Pastu ko tuang atas udang tadi. Tuang rata². Udang tu ko susun la elok² sikit. Kalau ko rajin, potong cili merah, buat macam bunga. Ala² MasterChef gitu.

Pastu, ha.. dah, pegi makan udang tu.

Hasil gambar menggunakan hp nokia cokia c3 aku. Okey gak la kan? Janji nampak imej udang tu.

Selamat mencuba.

Sekian,
Dari saya, Chef Pinky.



Monday, July 9, 2012

Stress aku stress.

Sangat tak best bila Blackberry buat hal.

Gara2 Facebook takleh update newsfeed. Cabut battery.

Trus keluar JVM error 517.

On off BB doplohpat kali tetap keluar error yang sama. Sampai la harini. BB aku simpan dalam envelop, letak dalam beg.

Tadi pegi Celcom BBK. Tak boleh buat katanya kalau Software problem. Okey fine.

Dapat sms dari member.

"Weh, leceh betul la nak bgtau apa2 kat ko kena sms".

Now aku lagi stress.

(carutan di sini)

Bye.


Friday, July 6, 2012

Selamat Hari Jumaat.

Bukan sekali dua kali dapat email camni.


Apa ke banyak sangat ke duit dorang ni sampai nak derma kat aku? Merepek bukan? Ko nampak tu Pound tu Pound. Juta pulak tu. Cuba korang convertkan kat duit Malaysia. Berapa jumlahnya?

Ha, lepas korang dah tau jumlahnya.

Email aku kat ---> cikpinky@yahoo.com

Bagitau aku, apa korang nak.

Nanti aku belikan.

Aku nak beli sebijik Lamborghini kaler itam.

Pangggg!! suka sangat verangan.




Thursday, July 5, 2012

Yang ni takde jual secara Online.

Okey, adalah jeles bila tengok Jules dok asik post entry kat blog. Aku ni, dah berkurun zaman tak update blog. Kejadah punya pemalas kan. Dasar ular sawa, lepas makan trus rasa mengantuk nak tidur.

Ha, tengok. Baru aku nak memblog, bos dah masuk. Okey, save to draft.

Aku ni kan, macam kena serang penyakit shopping online. Sejak2 officemate aku tanya, "kak, akak tak suka pakai minyak wangi ke?" Eh, minyak wangi aku tak cukup wangi ke apa ni? Padahal penat dah aku sembur. Pat lima kali jugak la pisst..pisstt.. bunyiknya.

Terus la aku tengok parfume kat online. Satu aku pesan, kena baca hati² details yang seller tu letak. Jangan gelojoh sebab nak murah. Jangan terbeli yang fake. Kang rugi je. Aku ni dari dulu memang jarang beli parfume. Harapkan orang bagi/belikan je. Dasar KEDE.

La ni tiba² aku rasa nak buat koleksi miniature pulak. Nak buat koleksi yang besar² tak berapa nak mampu rasanya. Yelah kan, kalau beli sebotol yang besar, boleh dapat 3 jenis minis berbeza nama. Bijak di sana. (KEDE di sini). Tapi kan, beli online memang murah. Itu pengalaman aku la.

Dari satu seller ke satu seller. Mula² beli memang harga agak berbeza. Sikit mahal. Sebab gelupur tak sabar nak order. Jakun itu kekdahnya. Tak menyabor la kan? Tulah, kalau nak beli sesuatu, kena lah sabar. Bezakan harga. Yang penting, baca keterangan. Jangan lepas dapat nanti menyesal. "Laa.. ingat ori" Padahal silap sendiri, takmo baca betul².

Satu lagi, kalau diri tu tak penyabar, jangan order barang under 'pre order'. Biasanya barang camni kena ambik masa 1-2 minggu untuk sampai ke tangan kita. (Bergantung kepada jenis barang ye). Kalau kesabaran cukup di dada, sila la order. Aku tergolong antara insan yang kurang kesabaran.

Ni la hasil tangkapan aku secara Online. Kecuali yang Dkny itam dgn cokelat tu. Itu pemberian anak sedara aku birthday tahun lepas. Eh, ke tahun sebelum tu. Sampai sekarang masih ada lagi. Aku penjimat bukan? Paling aku so in looovee, dengan Eternity yang kaler kuning tu. Best! Yang Dkny merah atas kotak tu, freegift. Seller ni sapa follow blog dia, bila kita beli.. Dia bagi kita freegift. Best kan?

Kalau ada korang nak tolong tambah koleksi aku, aku amat alu²kan.


Yang ni pulak, takde jual kat Online. Ni rezeki dari Allah. Sasha, cucuku sayang.

Psstt.. Ada satu lagi barang. Aku masih tunggu barang sampai. Yang tu, aku akan story next entry. Bunyi jakun kedengaran di sini.


Saturday, June 16, 2012

Test.

Testing.

Lupa macaman nak memblog pakai BB.

Faktor usia.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tuesday, May 22, 2012

Purple Kaler


Okey, now aku on the way ke JB. Sementara mata belum layu, baik aku memblog. Pegi dengan bos, so paham2 je la kan. Kurang berkata2. *bunyi cengkerik*

Sedia maklum, aku ni kalau nak attend wedding.. Pasti aku nak pakai baju baru. Kalau dulu chiffon jadi pilihan, now lace mencuri perhatian.

Yesss. I loooveee lacey.

Bermula la episod pencarian. Niat di hati nak pakai kaler cokelat pekat. Sebab majlis waktu malam, so kaler gelap adalah pilihan tepat.

Selalunya, apa yang kita cari memang jarang kita jumpa. Kaler cokelat ada, tapi material satin untuk lining tu aku tak suka.

Walaupun aku ni suka yang simple, tapi aku lebih menitik beratkan material. Memudahkan tailor sebenarnya. Win-win situation orang kata.

Pilih punya pilih, ada satu kaler, memukau pandangan mata. Bukan mata saya, tapi mata my sister.

Purple Kaler!

Bila digabungkan dengan lining dia, lawa rupanya. Tidak kusangka. Duduk diam seketika. Confius melanda. Berfikir nak pilih mana satu kaler. Cokelat ke, purple ke.

So, inilah dia pilihan saya.



Purple Kaler.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Friday, May 18, 2012

Aku xde Iphone, so takde instagram.

Suka betul aku tengok bila orang post gambar² dia kat instagram. Comel je rasanya. Nak follow, takleh. Sebab aku takde iphone. Headphone pun aku takde. Lagilah iphone..

Okey, baru² ni adik aku bagitau aku. Kat blackberry ada satu application lebih kurang macam Instagram. My PicStory namanya.

Aku pun cepat² la download. Cuba² guna application tu. Kemaruk buat tu je time cuti minggu lepas. Duduk diam kat hall, layan bendalah tu.

Ni adalah hasil My PicStory aku yang pertama.

Sapa lagi, kalau bukan Sasha.. Cucu aku tu. Dia je la jadi mangsa aku kalau bab² edit gambar ni.

Nak letak letak pic aku kang.. Korang kata aku syok sendiri pulak kan..

Okey, sapa yang belum download tu, sila la download ye.

Pastu followlah saya, Pinky Nonie.


Thursday, May 10, 2012

3 LUPA

Kat kedai kan, harga minyak petrol aku rasa amatlah mahal. Harga minyak dalam botol mineral water size kecika pun dah dekat dua ringgit. Saiz besar pulak dekat empat ringgit.

Okey, aku bukan isi minyak guna botol ye. Tapi mak aku yang hari2 merempit. Hari2 pasti pegi kedai. "Nak cari surat kabar" katanya.

So, untuk lebih jimat, mak aku biasanya beli minyak guna tong. Satu tong dalam 5 liter. Boleh pakai 2 minggu (agaknya).

Kemarin, mak aku suruh aku beli minyak. Tong ada kat tepi pintu katanya. Okey, dah sampai separuh jalan, aku baru ingat. Lupa bawak tong. LUPA 1.

Semalam, sebelum aku keluar, mak aku hulur tong tu kat aku. Takut aku lupa. Ingat nak isi minyak time balik. Sbb taknak simpan minyak dalam kereta kalau isi pagi. Dah sampai rumah, tengok mak aku depan pintu.. Baru aku teringat aku tak isi minyak. LUPA 2.

Mak aku tanya, mana minyaknya? Aku kata LUPA. Mak aku ingat aku gurau2. Sebab aku suka cakap main2 dgn dia. Kebetulan malam aku nak keluar kejap. Nak pegi jumpa cucu. lepas makan, rushing balik rumah, sebab nak tengok Mahabbah.

Dalam kereta, borak punya borak.. Tau2 dah sampai rumah. Lupa lagi nak berenti isi tong minyak tu. LUPA 3.

Harini, cepat2 salam mak aku.. Cepat2 keluar. Sebelum dia tanya lagi.

Eh, jap. Mak aku kol.

Mak: hello, ko lupa lagi kan?
Aku: (ketawa) petang ni mak. kompom.

Haisshh.. Ni sebab kerap minum air ada semut la aku rasa.

Ataupun, FAKTOR USIA? Renung2kan.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Wednesday, May 2, 2012

Ferrari Aku Menjerit

Aku kan paling tak suka kalau bos aku naik kereta aku. Aku naik kereta dia takpe. Itu lain cerita.

Haritu aku anta dia ambik kereta kat workshop. Dari masuk sampai la ke destinasi. Komplen tak henti2. Time bawak dia tu lah brake bunyi, tayar bunyi, aircond belt menjerit macam kena cekik. Makin menjadi2 la komplennya. Rasa macam nak maki. Boleh?

Tak boleh kot. Maki dalam hati, itu sukahati. Berapa kati maki, terpulang pada diri. Tak baik tau memaki, nanti hati mati.

Harini, bos pinjam kereta pegi kejap. Aku malas nak tanya pegi mana. Bagi kunci, terus dia pergi. Selang sejam, dia kol tanya kenapa kereta ada bunyi.

Aku bagitau la apa nak buat. Ferrari aku tu memang ada bunyi kalau on aircond. Menjerit2 macam kena cekik. Dia kata semua orang pandang dia. Dia malu katanya. Apa dia buat, dia angkat tangan je kat sapa yang pandang2 dia.

Aku tak nak kata apa, aku jawab je;

"Kereta saya plat BHK, bukan BLK".

Ha kau, short and sweet kan?


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Sunday, April 22, 2012

Silap Haribulan..

Mak long aku tadi datang dengan Pak Long dan menantu perempuan dia. Nak datang tahlil katanya.

U know what? Tahlil adalah semalam. Patutla menantu dia kata "takde orang pun mak.." Memang takde orang, semalam ramai orang. Mcmn tah boleh salah dengar. Padahal mak aku sendiri yg jemput. Takpe, nak nak buat camne.

Tapi takpe, kita anjurkan majlis minum petang sambil melepak borak2 pula untuk hari ini. Segala makan minum disediakan oleh bukan aku, tapi mak aku.

Alhamdulillah, semalam tahlil ramai yang hadir. Lebih dari 30 orang. Di luar jangkaan mak aku. Dan makanan jugak banyak lebih, so kuih muih tu dapat la dorang tapau selain dari nasi ambeng sebagai Berkat utama untuk tetamu. Kuih muih selain mak aku tempah, kakak ipar aku buat, ada jugak kawan2 mak aku bagi. So, sangatla variety. Alhamdulillah. Itu rezeki.

Kalau kenduri orang jawa, Berkat tu 'is a must' untuk tetamu yang hadir. Malas nak cerita panjang, sapa jawa kat sini pasti dia tau.

Mak aku kan, kalau buat apa2 majlis kan.. Dia gabra lebih. Itulah, inilah. Macam tak penah buat majlis. Arah itu ini, tapi dia tak buat apa. End up, dia yang letih lelebih. Itulah dia mak aku.

Semalam time dia ajak aku ambik nasi ambeng. Tak boleh nanti2 dah. Nanti orang tunggu2 katanya. Padahallll.. Nasik tu tak siap dibungkus lagi. Siap aku antar nasik kat rumah anak sedara aku kat pekan, patah balik.. Still tak siap jugak. Wat the dotdotdot?

Sebenarnya dari lepas azan subuh mak aku dah membizi. Mengejutkan aku untuk antar dia pegi pasar besar. PadahaL, cuma nak beli ayam pat ekor dgn bahan2 untuk masak mi kari. Padahal kat pekan pun ada supermarket.

Tapi kan, kerana mak aku.. Aku gagahi jugak. Bangun pagi2 antar mana dia nak pegi. Dari pasar borong, ke kedai 99 dan kedai tempahan nasik ambeng. Mana dia nak pegi, aku antar je. Dalam hati merungut juga.

Dalam hati ye? Dalam hati.

Kalau korang perasan, tiada visual disertakan. Sebab tangan aku tak sempat nak snap barang sekeping pun gambar. Sebab tak cukup tangan dah. Lain kali la ye.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Saturday, April 7, 2012

Aku tak suka kalau kat pasar tu ada orang jual krim snow. Paksa2 orang cuba. Kalau la muka dia licin licau takpe la kan.

Bukan aku nak kata la kan. Kau jual krim muka, paksa orang beli.. Haruslah muka kau tu semenggah. Ni tak, muka capuk2 krim. Camne la orang nak minat membeli?

Ni kisah pagi tadi, aku pegi pasar. Dia tanya mak aku kalau aku ni cucu dia. Mak aku kata bukan cucu. Tapi anak. Pastu dia kata "Anak makcik ada resdung tu.." Boleh ko scan kulit aku dari jauh eh?

Aku buat tak tau and jalan sambil 'TALK TO THE HAND'. Baik aku pakai krim Safi.
Dorang ni kan, buat sales main taram je. Aritu anak sedara aku kena. Kat Tesco. Tengah dia berjalan, tiba2 ada orang tarik tangan dia, then sapu2 krim.

Kejadah kau pegang tangan orang ikut sesuka hati kau? Kau tak pikir ke kalau2 tu bini orang? Sesuka hati ke kau nak pegang. Silap2 kang kena lempang dengan laki orang. Please lah.. nak capai target sale bukan camtu der..

Dorang ni kan, jual 3 benda yang sama. Satu untuk krim muka, satu lagi untuk krim siang n satu lagi boleh buat masker. 3 barang yang sama uolsss..

Sungguh tak logik bukan?


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tuesday, April 3, 2012

Doakan saya..


Hi, saya Sasha. Cucu kepada tuan punya blog ni.

Nampak tak kat dahi saya ada merah tu? Tu, saya terantuk kat besi troli. Sebab takmo dengar cakap mama saya. Dia suruh saya duduk kat situ, tapi saya taknak. Kan dah terhantuk.

Okey, malam ni InsyaAllah saya akan terbang ke Jeddah ikut mama saya pegi Umrah. Doakan saya selamat pergi dan pulang ye.

Saya tau, nenek saya Pinky Nonie sure sedih nanti bila antar saya kat airport. Dia kan ratu air mata. Saya tau nanti dia rindu saya. Sebab dia kerap datang melawat saya kat rumah lepas dia abis kerja. Dia datang main² dengan saya. Malam baru dia balik rumah dia. Saya tau, saya adalah Sugar Candy dia.

Kepada nenek, "bila kita nak gi Umrah sama²?"

Nenek jawab, "InsyaAllah.. nanti sampai masanya kita pergi sama²".

Okey bai.

(sedih dah ni..)





Wednesday, March 21, 2012

A Must Read Entry

Kan? Tajuk entry pun tak boleh blah.

Memang pun. Kalau boleh nak belah kepala si keparat ni.

Walaupun benda ni tak terjadi kat aku, tapi aku terasa sakitnya.

Geram! penat dah carut malam tadi. Mak aku pun takleh kata apa dengan aku carut.

Benda ni jadi kat kakak aku. Dia ni keje kat Bukit Raja. Kereta pulak parking kat luar pagar. Ye, Memang kena parking kat luar. Tak boleh parking dalam kawasan kilang. Di sini dah nampak kebodohan kilang ni.

Dah nak jadi, cermin kereta pecah. Terkena batu time orang mesin rumput. Nak cari sapa orangnya pun ambik masa. Kena check company mana yang ambik kontrak mesin rumput kawasan tu pun satu hal. Ish.. sangat troublesome la. Adalah lebih baik pegi repair, keluar duit sendiri. Dalam seratus lebih kalau tak silap.

Okey, bila big bos kakak aku (orang Jepun) dapat tau, dia pun jumpa kakak aku. Mintak maaf atas kejadian yang menimpa. Dia pun ada inisiatif pakat kutip duit kat bahagian admin nak bagi kat kakak aku. Dapat la rm90 sebagai duit ihsan.

Duit tu pulak di Jepun ni suruh manager (Melayu *babi*) sampaikan kat kakak aku. Dia ni memang tunggu masa je nak kena pecahkan muka dia. Perangai sangat tidak macam Melayu. Tapi macam hanjing. (aku ganti tempat Azwan Ali jap). Dia ni suka tindas pekerja.

Korang bayangkan la ye, adik korang nak kawin.. Tapi dia tak bagi cuti. "adik awak yang kawin, bukan awak pun. buat apa nak cuti?". Babi bukan?

Kalau anak sakit nak ambik cuti.. "kan ke anak awak tu dah di hantar kat baby sitter. tau la dorang nak jaga anak awak." hanjing bukan?

(temperature aku dah naik..)

Berbalik kat cerita yang dia panggil kakak aku. Dia kata perkara ni (cermin pecah) terjadi atas kesilapan diri sendiri. Masalah kakak aku sendiri katanya. What the Eff? Tanpa rasa kesal atau prihatin dengan hal yang terjadi. Helo.. Korang yang suruh staff parking kat luar tu, staff punya silap ke?

Lepas tu baru dia pass duit rm90 tadi kat kakak aku. Time tu kakak aku dah nangis dah. Geram sangat bila si Bodoh ni cakap camtu. Lepas tu si Jepun tu pun nampak kakak aku nangis. Dia tanya kenapa kakak aku nangis. Si Bodoh ni kata, kakak aku terharu sebab dapat duit rm90.

Apeke sial punya manusia?

Ada sorang yang terdengar si bodoh ni cakap camtu, dia bagitau kakak aku. Terus kakak aku turn, jumpa si Jepun tu lagi sekali. Bagitau perkara sebenar dan pulangkan duit rm90 tadi. Rasa terhina bukan?Apa ingat hadap sangat ke dengan duit tu. Tuiii! Ko belum bagi duit, cermin tu pun dah siap repair la sangap!

Si Jepun ni agak terkejut. Kakak aku pun cerita la pasal si Bodoh tu. Jepun tu ada tulis kat kertas. Take note. Harap amik tindakan ye, jangan sekadar take note.

Sebenarnya ramai orang berhenti sebab si Bodoh ni. Suka sangat menindas orang lain. Sampaikan ada bekas pengurus Jepun ni pun menolak untuk datang sini balik sebab Bodoh ni ada. Kalau bodoh ni berambus, baru dia sanggup datang balik.

Err.. biar aku kenalkan kat sini. Si bodoh ni bernama Sabri.

Kalau ada sesapa sedara Sabri baca, lagi aku suka. Biar dia tahu tahap kehanjingan sedara dia ni.

Okeylah, aku nak urut dada.

Mengah2 sebab marah.


Monday, March 19, 2012

Jangan Sisihkan Mereka

Camne nak mulakan eh?

Okey, kat tempat aku ada sorang budak lelaki. Dia ni dulu okey. Okey kat sini aku maksudkan sebagai waras. Bukan aku kata sekarang dia tak waras. Tapi kurang sikit tahap kewarasan dia.

Dia ni jadi agak kurang waras (walaupun tak sanggup aku berkata sedemikian) sejak mak bapak dia berpisah lalu membawa haluan masing². Aku tak tau samada dia ditinggalkan oleh orang tuanya ataupun sebaliknya.

Dia ni start merayau² kat area rumah aku. Tapi dia tak kacau orang. Dia jalan dari rumah nenek belah mak dia ke rumah nenek belah bapak dia. Itu je rutin dia. Kalau dia penat, dia duduk kat bawah pokok. Duduk pandang sekeliling sambil sengih².

Mula² agak takut nak mendekati dia. Tapi sebab rasa kesian sangat, aku berani bagi dia makanan. Aritu aku terserempak dengan dia tengah kutip plastik sambil tonggeng plastik tu. Dia lapar barangkali. Aku kebetulan beli aiskrim banyak. Aku bagi kat dia. Sambil sengih, dia terima.

Satu lagi, dia teramat suka buah ciku. (kot). Sebab dia suka cari buah ciku kat rumah jiran aku. Termasuklah kat depan rumah aku. Walaupun takde buahnya, dia tetap pusing keliling pokok tu cari buah ciku. Kesian dia..

Satu hari, penah adik aku bungkuskan dia bihun goreng dengan air mineral. Bagi kat dia makan. Dia duduk makan dengan agak lahap kat bawah pokok durian. Dia lapar agaknya. Siap bagi dia selipar sekali. Sebab dia cuma berkaki ayam.

Tak lama lepas tu, dia dah tak pakai lagi selipar. Kembali ke kaki ayam. Mana tah dia tinggal selipar tu. Mungkin dia selesa berkaki ayam.

Semalam, aku nampak dia tengah tinjau² lagi kat bawah pokok ciku. Mungkin dia lapar. Tapi aku takde bawak makanan pulak time tu.

Ishh.. Kesian kan?

Satu aku harap, orang tua dia atau waris dia ambik tau pasal dia.

Kita jangan sisihkan orang macam ni. Dia pun taknak jadi macam tu. Keadaan yang buat dia jadi begitu.

Sob..sob..

Aku takleh tengok orang macam ni. Jiwa terus kacau. Sedih semedang..


Monday, March 12, 2012

SakaiSale

Aku kan, kalau terdengar je ada sale.. lutut aku terus gigil. Terus rasa gemuruh. Benci dengan perasaan ni. Rasa nak gi rehab centre. Serius ni.

Aritu ada sorang kawan dia bbm aku. Ada warehouse sale Charles & Keith katanya. Siap bagi alamat dengan details.

Apa aku buat, abis keje ari jumaat.. Aku terus memecut ke Subang. Padahal aku tau, aku cuma ada masa sikit je since sales tu tutup pada 7.45 for that day. Aku gamble nasib je. Kalau aku sampai sana dah tutup.. At least aku tau tempat tu kat mana. So, i don't have any problem to find the place for the next day. Boleh?

Alhamdulillah, aku sempat masuk sale tu. Walaupun masa adalah sangat terhad.

Dan..

Kasut adalah sangaaatttttt banyaaakkkkk! Bingung aku nak pilih. Lagipun sorang² je kan. Macam orang bodoh pun ada. Kahkah! Banyak la aku punya bodoh. Tapi memang pun. Ko bayangkan lah, aku gi warehouse sale sorang². Ada ke dibuat dek orang lain?

Itulah namanya sakai sale. (akulah tu)

Pilih punya pilih, tak terpilih. Banyak sangat kasut. Tak tau nak pilih mana satu. Yang heel, yang wedjes, yang sandal yang pump. Haishh..

Last² dapat yang ni. Atleast dapat sepasang kalau esok tak dapat pegi. Esok???


Ye, Sabtu kami datang. Kami adalah aku dan adik aku. Kan ke aku dah janji nak belikan dia kasut selepas dia dapat 3.95 pointer kat exam dia tu..

Masak seawal 9 pagi. Mak aku pun rasa pelik. Kami siap bagitau..

"Mak takleh ikut. Orang ramai sangat. Takde tempat nak duduk. Kitorang nak pilih kasut lama².."

Mak aku pun paham. Sebab dia tak tahan menunggu. Sedangkan kat Jakel yang sejuk mejuk pun dia tak larat tunggu aku pilih kain, ini kan pula warehouse sale.

Orang punya la ramai. Kena beratur tunggu nak masuk. Pastu dia lepaskan 5 row by 5 row. Adik aku dah siap bgtau. Dia nak asak je nanti. Walaupun row kami belum sampai, adik aku berjaya memboloskan diri masuk. Eh, dia lagi teruk dari aku kan?

Kami pun berpecah. Masing² dengan beg yang dibekalkan. Dia dengan taste dia. Aku dengan taste aku. Dia more to high heel. Aku kadang² rasa dia tu sebenarnya adik Kim Kardashian. Suka bebenor dengan heel. Takat 3inci dia tak main uolsss.. Rendah katanya.

Aku pulak, more to flat shoe. Sekarang ni dah tua², tak larat pakai heel. Sakit tulang belakang aku ni hah. Kalau wedges, boleh adjust lagik. Dulu aku keja naik bas turun bas kat shah alam sana. Boleh je pakai heel. Nak naik jejantas turun jejantas. Takde hal pun pakai heel kauuuu...

Lepas tah berapa lama pilih, kami pun sepakat untuk keluar. Dah kepenatan, haus lapar semua ada uolss.. kaki ni dah naik kejung. Padahal aku pakai kasut flat je. (mgkn faktor usia).

Kami pun menuju ke The Summit. Makannnnn... Membelasah steambot kat Johnny's. Gambar makanan tiada. Lupa nak snap dek kerana lapar teramat sangat.

Balik² rumah je. Mak aku ada tengah lepak kat hall.

"Mana mak punya?"

Nasib baik belikan dia sandal sepasang.

Lega hati dia.

Yang tinggi tu kasut adik aku. Aku punya yang rendah² je. Orang tua takleh pakai heels dah.

Malam tido separuh lena separuh tak lena. Yang lena tu sebab dah beli kasut. Yang tak lena tu sebab kaki sakit.

Padan muka.


Tuesday, February 14, 2012

Seekor Kancil Kelabu.

Hey dolls,

News update:
Bapak aku ✗ kena admit. Now, kat rumah. Rest.

Semalam abang aku datang rumah. Inform yang dia dah beli motor. Suruh kami datang rumah dan tengok motor baru.

Surprisingly, it is not a motorbike. Its a CAR! Yes, seekor Kancil kelabu. Comel.

Terus aku capai kunci kereta. Bawak ramai² pusing kampung. Sil aku agak tak berapa pandai pandu manual, same goes to adik aku. Well, aku masih ok. Walau ✗ berapa nak smooth pergerakan kereta itu.

Actually, kereta tu untuk anak sedara aku. Biar senang dia nak pegi kerja. Now dia pegi kerja naik motor. Agak bahaya. Puncak alam road is not safe. Jalan dia agak gelap dan agak bengkang bengkok. Sapa ✗ biasa, kena extra berhati².

Lepas tu, aku bertindak jadi cikgu memandu. Halaman rumah aku kan agak luas. So, takat nak ke depan, ke belakang no hal. Lepas aku bagi sikit briefing on how to handle brake, clutch and accelerator.. Aku bagi kereta kat anak sedara aku suruh dia cuba sendiri.

What a surprise! She can do it!

Nanti kita belajar lagi ye. Belajar macamana nak pecut time lampu kuning. Eh.

Psstt.. Dulu aku belum ada lesen tapi dah bawak kereta pegi keje.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Monday, February 13, 2012

Blogging In Hospital.

Hey dolls,

I am blogging while waiting for my father in emergency ward in HTAR. Yeah, sounds scary huh when I mentioned E-Ward.

My father is rushed to hospital while he's doin the monthly check up at Gov. Clinic. They brought him here with Ambulance. Nenong nenong!

When I asked, "bapak, kenapa dorang anta pegi sini?" He replied with smile on his face "takde apa lah.. "I guess his BP is over over high. And, he scare to tell me. Becoz, he bantai all the food and taking too much cold water.

Hmmm.. Old people are like that. Whenever we advice not to eat this that, they said.. "Takpe, ni obat".

Can ar?

Okey, now still waiting. After one to another checking. Heart to blood. Waiting with sabar. Hope he is fine and not admitted.

Bye.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Monday, February 6, 2012

AkuJawa


Hey dolls,

Semalam ada kawan lama, bukan kawan lama.. Lama dah berkawan. Dia datang rumah antar barang. Ole² dari Sabah. Tenkiu so much. Lama dah benda tu tersimpan rapi. Dek kerana kebizian masing², baru semalam sempat nak bertukar tangan. Alhamdulillah, rezeki.

Minta maaf, tiada visual disertakan. Tau je la kan kalau dari sabah, pasti makanan laut dah mutiara. Aww.. aku suka!

Barang ni untuk aku dan kawan aku sorang lagi. Kiranya transit kat rumah aku. Cewah.. macam kapal terbang pulak ada transit². Nanti kawan aku ni datang ambik kat ofis.

Aku pun bbm dia yang barang dah selamat berada di tangan aku. Bila² masa ofis hour boleh singgah ambil.

Ini adalah antara conversation bbm kami.


1.

2.

3.

Adakah faktor senggugut punca masalah aku di atas?

Barangkali juga.


Thursday, February 2, 2012

Masalah Yang Selalu Melanda.

Hey dolls,

Aku kan, selalu ada masalah pasal baju. Masalah ni datang mengganggu kalau ada jemputan kenduri kawen.

Masalah aku adalah, aku nak sentiasa pakai baju baru tiap kali pegi majlis. Taknak pakai baju yang sama.

Susah gak kalau suka post gambar kat FB n Blog. Tiap kali pegi majlis, tiap kali tu lah nak post gambar. Sebab tu lah, taknak orang tengok pakai baju yang sama.

Ni aku nak kena attend wedding minggu depan. Dah pening dah ni tak tau nak pakai baju apa.

Satu lagi, aku ni kan.. Kalau suka satu jenis kain tu.. Itu je la yang aku beli. Pastu sama je design aku buat. Cuma lain corak.

Ni dah pikir nak beli lace kaler kelabu. Ye, lace lagi. Ada orang tanya kenapa aku sukaaaa sangat lace. Aku pun tak tau kenapa. Memang suka. Takpe, nanti aku kawin tak pakai lace. Pakai songket. Eh.

Korang ada masalah sama mcm aku tak?

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Wednesday, February 1, 2012

Bawang Girl


Hey dolls,

Takde apa nak cerita sangat. Sangat sibuk dengan kerja² opis. Sampai bila pun keje tak abis. Tak keja, duduk rumah pun banyak keje gak kan. So, keje memang tak akan abis. Taknak keje, duduk dalam kubur. Itu pun ada keje. Keje menjawab soalan.

Nak tunjuk je kat korang, budak kecik yang selalu aku rindu. Hari² rasa nak jumpa nak main² dengan dia. Sejak² dia dah reti main², makin best rasa. Henfon dicampak² pun xpe. Janji ko bahagia. Tapi takpe, nenek rela je. Walau hati agak sengsara.

Sekarang dia dah nak cuba² berjalan. Cepat jalan ye Sasha, jangan tiru nenek ni. Lambat sokmo.


-- THE BAWANG GIRL ---

Ada iras rupa Nenek Pinky dia tak?

Sunday, January 29, 2012

Entry Lupa letak tajuk

Hey dolls..

Sangat malas rasanya kalau bab nak pegi kenduri kawin. Pikir nak pakai baju apa, nak matchkan tudung lagi. Semalam konon nak pakai lace pink. Malam tadi pegi pasar malam Puncak Alam nak cari shawl pink.

Tapi xde pulak yang berkenan di hati. Terus tukar plan pakai baju kelabu selepas hati berkenan dengan tudung syria Nur Kasih kaler kelabu hitam.

Berpandukan map kat kad jemputan. Ikut bulat² la. Takdela bulat mana pun sebab as kat map tu jalan tu sebelah kanan, tapi the actual is sebelah kiri. Boleh?

Punyalah ramai tetamu. Q nak ambik nasik punya lah paaannnjaaannggg.. Nasib baik lauk ada rasa. Sedap. Daging sweet sour dia more two sweet. I like! Ko kalau sweet memang manjang like la kan Nonie? Eh.

Satu yang aku mmg ✗ penah nak like adalah deejay yang asik bercakap. Nak makan pun ✗ senang. Ada je celoteh (konon) dia. Tengah² dia bercakap tu, dia boleh cakap benda lain. " Nak balik dah kak nam? Jalan baik² ye?". Mgkn ada makcik tu lintas depan kaunter deejay berjalan nak balik. Euuww.. I dun like lah.

Aku suka kenduri kawin yang pasang lagu ✗ kirala nasyid ke, jiwang ke dengan secara perlahan. Kan ke aman. Nak makan pun senang. Ye tak?

Balik kang nak makan nasik putih la. Aku ni kalau makan nasik selain nasik putih, konsider ✗ makan nasik. Tau?

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Saturday, January 21, 2012

Masak Dan Makan..

Hey dolls.. (Feeling² Kim Kardashian)

Dah lama rasanya ✗ blog pasal makanan yang aku masak. ✗ bermakna aku ✗ masak. Bukan apa, sejak dua menjak ni aku asik la masak laksa. Sampaikan ada kawan tanya "ko takde benda lain ke nak masak?"

Bukan xde, tapi aku suka sangat makan laksa. Nak beli tapi selalu ✗ puashati. Ada je yang kurang. Lebih baik masak sendiri.. Puashati.

Okey, harini aku nak tunjuk apa yang aku masak untuk lunch. Lagipun aku ada jemput anak sedara aku datang makan. Hmm.. Rindu kat cucu aku Sasha.

Aku masak:
Baby kailan dengan sos tiram.
Sayur campur².
Sup ABC (ayam+kentang+lobak)
Ayam goreng tepung spicy
Ikan gelama goreng. (Ikan ni baru tangkap malam tadi).

Sila la tengok ye.

Tido jap, pastu baru makan.

Eh, bila lagi ada audition Masterchef?

Wednesday, January 11, 2012

Inikah yang dikatakan - Bad Day

Semalam aku pegi Megan Avenue 2, Jalan Yap Kwan Seng. Ada keje sikit kat situ. Opismate aku yang selalu blur dia dengar aku sebut Jalan Yap Kwan Seng as "Jalan Econsave'. Memang super blur kan? Celah mana KL ada Jalan Econsave pun aku tak tau.

Okey, boleh aku katakan tempat ni agak okey. Okeylah. Sebab kat sini boleh cuci mata, tengok foreigner dari Asia Barat. Pak Arab uolss.. Bukan Awang Itam okey? Euuuwww!

Ada satu time ni aku pegi tandas. Tunggu agak lama, mungkin si pengguna di dalam sedang menjalankan 'bisnes' besar. Aku, bisnes kecil²an saje.. Nak besar², pagi saje. Setelah selesai 'berbisnes' si pengguna ni lupa flush secara clean.

Ada saki baki lah Dol.. Ko tak tau ke check balik lepas ko flush? (.....mencarut...)

Aku ni pantang terlihat benda² macam ni. Mungkin lepas aku keluar dari toilet, orang akan anggap aku sedang awal mengandung. Muntah² sampai mata berair². Lantak sana, aku bukan sengaja. Aku loya.

Setelah loya², aku masuk satu cafe ni. Dasar tekak, dah nampak benda camni pun masih ada nafsu masuk cafe. Pekena teh tarik.

Okey, teh tarik dia pulak rasa pahit kedaung.. Sedap lagi teh tarik kat kedai belakang opis aku. Dahla harga mahal cekik darah.. Tak sedap pulak. Hish!

Okey, time nak balik.. Aku bayar parking kat parking lot seberang jalan tu. Dia punya pekerja aku cakap kau, pemalas. Nak angkat tangan pun malas. Keluarkan tangan dari grill pondok bayaran dengan secara lembik dan malas. Aku ni kena letak duit kat tangan dia, bila dia rasa ada benda kat tapak tangan, baru dia bagi tindakbalas. Dia sibuk berborak dengan 2 orang kawan dia. Keje siap bawak 2 orang tu.. Best bukan? Tak tau la aku kalau 2 orang tu pun pekerja situ gak. Tapi agak² la, pondok sekangkang kera tu nak share sampai 2-3 orang. Tak masuk akal kan?

Satu lagi, nak bagitau berapa RM.. lagilah tidak. Memanglah kat skrin tu ada tunjuk, tapi ko tau la kan time tengahari terik berdengung.. Mana la nak nampak skrin tu dek pembalikan cahaya. Sampaikan aku tanya, baru dia kata RM7.50. RM7.5o ko tau?

Bayar dan pulang. Lagi best Klang.